Gamuda Land Bhd, unit hartanah Gamuda Bhd melancarkan galeri jualan inovatif digital dikenali Gamuda Land Virtual Experience Gallery, pertama seumpamanya di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Ngan Chee Meng, berkata galeri yang dibangunkan sepenuhnya di atas platform realiti maya itu menawarkan paparan penuh 360 darjah dan format tiga dimensi (3D).
“Gamuda Land Virtual Experiential Gallery dibangunkan dengan penuh ketelitian untuk memenuhi aspek pengalaman pelanggan bermula ketika mereka memasuki galeri maya ini.
“Kami akan memastikan galeri maya ini relevan dan melengkapi galeri fizikal,” katanya dalam satu kenyataan.
Gamuda Land Virtual Experiential Gallery secara rasmi dilancarkan hari ini adalah berasaskan web dan boleh diakses menerusi www.gamudaland.com.my/vegallery.
Mengulas lanjut, Chee Meng berkata, matlamat utama pengenalan galeri itu adalah untuk mewujudkan ruang mendekati pelanggan tanpa perlu berada di tapak projek secara digital.
“Pelan lantai 2D sudah berlalu. Kini, pelanggan boleh berjalan dalam rumah masa depan dan meninjau persekitaran walaupun ia belum dibina.
“Pelanggan juga tidak hanya boleh melihat projek kami di Malaysia, malah projek di luar negara,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan galeri maya itu hadir tepat pada masanya, terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kebanyakan rakyat Malaysia memilih meluangkan lebih banyak masa di rumah.
“Gamuda Land Virtual Experiential Gallery membolehkan pengunjung meneroka galeri 360 darjah dan melihat paparan maklumat berhubung hartanah Gamuda Land dalam dan luar negara.
“Galeri kami berbeza, di mana pengunjung boleh menggunakan fungsi Video Sembang Langsung dan sesi soal jawab masa sebenar boleh dilakukan bersama Gabungan Perhubungan Gamuda Land (RA).
“Platform berkenaan juga membolehkan RA menawarkan lawatan berpandu di unit pameran maya. Video Sembang Langsung disediakan setiap hari dari 10 pagi hingga 6 petang,” katanya.
Lebih menarik, menerusi platform sama, pengunjung boleh menempah hartanah yang diingini tanpa perlu hadir ke galeri jualan fizikal.
Sebagai permulaan, pengunjung perlu menggunakan kalkulator nisbah perkhidmatan hutang dan mendapatkan laporan di bahagian Hab Pemilikan Persendirian.
Pengunjung kemudiannya dapat memperoleh pinjaman pra-kelulusan dari bank terpilih.
Dengan jumlah pinjaman yang dipertimbangkan, pelanggan boleh memilih unit yang diingini dan membuat tempahan secara dalam talian.
Sempena dengan pelancaran Gamuda Land Virtual Experiential Gallery, pembeli akan menerima akaun pelaburan emas bernilai sehingga RM9,000 bagi setiap pembelian hartanah yang berjaya menerusi platform berkenaan.