Terap konsep ‘menyelami bisikan alam’ sebagai elemen yang penting
Pemaju hartanah terkemuka, Gamuda Land memegang prinsip bahawa semua penduduknya berhak untuk tinggal dalam persekitaran yang dirancang dengan baik, bersih, selamat dan mudah diakses.
Justeru, semasa merancang setiap projek perbandaran yang mahu dibangunkan, syarikat itu sentiasa menerapkan konsep ‘menyelami bisikan alam’ sebagai elemen yang penting dan ia bermakna Gamuda Land akan bekerja dengan apa yang disediakan oleh alam sekitar.
Syarikat itu juga mengambil satu langkah ke hadapan dengan menubuhkan Gamuda Parks bagi menunjukkan usaha komitednya dalam mempromosikan kelestarian dalam perbandaran yang dibangunkan.
Gamuda Parks dilancarkan pada Mei 2018 dan ia adalah satu inisiatif khas yang ditubuhkan sebagai penanda aras yang diberi mandat untuk menjaga, melaksana, mengurus dan mengekalkan kesejahteraan alam sekitar.
Menurut Ketua Operasi Gamuda Parks, Khariza Abd Khalid, mandat berkenaan bukan sahaja tertakluk kepada rekaan landskap yang dibuat pihaknya tetapi juga kepada tumbuh-tumbuhan semulajadi yang ada di sekitarnya.
Katanya, sejak ditubuhkan, Gamuda Parks kini sedang dalam proses untuk memperkenalkan polisinya yang tersendiri.
“Polisi ini, apabila diwartakan akan menjadi garis panduan Gamuda Land dalam membuat perancangan induk, mereka bentuk, membangunkan dan mengekalkan perbandaran yang lestari.
Tiga teras utama
“Gamuda Parks diuruskan menerusi tiga teras utama iaitu hijau (penyelenggaraan flora), biru (unsur air seperti rekaan tasik dan kolam) dan perang yang merujuk kepada pengurusan bahan.
“Selain daripada merujuk kepada dasar antarabangsa dan tempatan, polisi ini juga diasaskan menerusi penyelidikan saintifik yang menyeluruh.
“Bagi tujuan ini, kami juga bekerjasama dengan sekumpulan pakar untuk menjalankan audit kepelba gaian bio dalam beberapa projek perbandaran kami.
“Hasil laporan audit itu digabungkan dengan nasihat pakar dania akan dijadikan panduan dalam membuat polisi berkenaan. Polisi berkenaan dijangka akan dikeluarkan pada Jun depan,” katanya dalam satu sesi bersama media di Gamuda Gardens Experience Gallery di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.
Turut hadir pada sesi berkenaan ialah Pengerusi Wetlands International Malaysia (WIM), Datuk Paduka Ir. Keizrul Abdullah, Ketua Program Kepelbagaian Bio dan Ahli Botani Kanan Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM), Dr Richard Chung serta Pengarah dan Prinsipal Perunding AGV Sustainability & ESG Services (AGV), Datin Dr Vijayalakshmi.
Gamuda Land menjalin kerjasama dengan WIM dengan mendapatkan nasihat teknikal berhubung Gamuda Parks dalam aspek berkaitan dengan tanah lembab.
Kolaborasi bersama FRIM pula membabitkan para pegawai dalam rundingan dengan Gamuda Land dan memberikan maklumat dalam penilaian kepelbagaian bio.
Manakala gandingan dengan AGV dibuat bagi tujuan menyemak semula inisiatif Gamuda Parks dan rundingan untuk membangunkan polisi.
Taman, tasik jadi identiti bandaran
Bercerita lebih lanjut mengenai inisiatif yang telah dijalankan Gamuda Parks setakat ini, Khariza berkata pihaknya sudah menjalankan audit kepelbagaian bio dengan mengenalpasti spesis, risiko dan kajian di bawah tiga teras utama yang dinyatakan di atas dalam perbandaran Gamuda Cove, Gamuda Gardens dan Valencia.
“Hasil kajian berkenaan menunjukkan terdapat 47 spesis flora di Gamuda Cove, 95 spesis flora di Gamuda Gardens dan 355 spesis flora dengan 70 peratus daripadanya adalah spesis tumbuhan asli di Valencia.
“Selain itu, terdapat 84 spesis fauna di Gamuda Cove dan 109 spesis fauna di Gamuda Gardens. Dalam tempoh dua dekad ini, Gamuda Land telah menanam hampir 250,000 batang pokok di semua pembangunan perbandarannya dan mencipta tasik buatan, kolam, tanah lembab dan aliran dengan jumlah keluasan keseluruhan sebanyak 140 hektar.
“Kesemua taman dan tasik ini menjadi identiti bagi setiap perbandaran Gamuda Land dan ia juga adalah pemangkin bagi penubuhan Gamuda Parks.
Prosedur standard operasi
“Ia adalah sesuatu yang wajar untuk dilaksanakan dan kami mahu menjadikannya sebagai prosedur standard operasi kami,” katanya.
Khariza berkata, Gamuda Parks turut menerima dana berjumlah RM1 juta dan sebahagian daripadanya digunakan untuk pembuatan polisi dengan melantik sekumpulan pakar sebagai penasihat.
“Kami percaya pemuliharaan alam sekitar mendahului kemodenan bagi mendapatkan kehidupan yang lebih baik. Gamuda Parks akan mempraktikkan pendekatan yang lestari berdasarkan tiga teras utama (hijau, biru dan perang) dalam setiap pembangunan kami.
“Dengan mempromosikan pemuliharaan spesis tanaman dan menyetarakan ruang moden dengan rangkaian kehijauan, kesemua ini akan menjadi penanda aras bagi Gamuda Parks dan membolehkan kami mewujudkan pembangunan hijau yang menghubungkan komuniti dengan alam semulajadi untuk kesejahteraan sosial dan emosi.
“Ini adalah pendekatan kami bagi meningkatkan keseimbangan pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.