Projek kondominium eksekutif yang dibangunkan secara usaha sama oleh Gamuda Land di Singapura dikenali, OLA mendapat sambutan memberangsangkan meskipun di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dan penularan COVID-19.
Kondominium eksekutif yang terletak di sepanjang Anchorvale Crescent di Sengkang, Singapura itu, menerima lebih 1,100 permohonan secara dalam talian sejak e-permohonan bermula 15 Februari 2020, yang mana ia lebih tinggi berbanding unit
kediaman yang ditawarkan sebanyak 548 unit.
OLA adalah kondominium eksekutif yang menawarkan 548 unit dengan dua hingga lima bilik tidur berkeluasan antara 775 kaki persegi hingga 1,722 kaki persegi.
“Kami memutuskan untuk melancarkan OLA kerana kami difahamkan rakyat Singapura mahukan kondominium eksekutif berikutan tanggapan kemampuannya.
“Dengan gabungan lokasi OLA yang sangat baik dan reka bentuk serta kemudahan yang mencukupi, ia menjadikan OLA tempat terbaik untuk dipanggil rumah,” kata Pengerusi Gamuda Land, Datuk Chow Chee Wah.
Dengan mengambil kira kebimbangan penularan COVID-19, beliau berkata, pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengehadkan jumlah orang mengunjungi galeri dan unit pameran dengan mengukur suhu badan mereka sebelum dibenarkan masuk.
Dengan mengekalkan tema reka bentuk Sepanyol, OLA mempunyai candelier buatan tangan dan perhiasan porselin dari pengeluar patung seramik Sepanyol, Lladro serta lukisan kanak-kanak dan keluarga oleh artis Sepanyol Eva Armisen.
Inspirasi reka bentuk untuk OLA adalah sejajar dengan kesukaan orang Sepanyol terhadap kehidupan komuniti, yang mana pelbagai tempat perjumpaan masyarakat dirancang secara rapi untuk orang ramai berkumpul dan jiran dapat mengenal antara satu sama lain.
Ia termasuk bar, kelab dan lounge serta studio dan gimnasium.
Aktiviti seperti aqua Zumba, aqua Taekwando, kelas tarian dan memasak juga akan disediakan di OLA untuk meningkatkan kehidupan masyarakat.
Kehijauan alam semula jadi
Penduduk OLA juga akan menikmati kehijauan yang menarik alam semula jadi di sekelilingnya serta dedaunan di Sengkang Riverside Park, yang terletak berdekatan dengan OLA.
Landskapnya juga akan termasuk kawasan berjalan kaki, kolam biodiversiti, taman sensori dan dek aliran hutan.
“Usaha sama kami dengan Evia sangat baik kerana kami berkongsi prinsip pembangunan asas yang sangat penting untuk kedua-dua pihak, seperti mengutamakan komuniti dalam perancangan kami serta menghormati alam semula jadi apabila kami membangunkan sebarang pembangunan,” kata Chow.
Salah satu ciri utama OLA ialah kiosk telekesihatan, yang mana menerusi kiosk itu, penduduk akan dapat konsultasi dengan doktor seperti meminta datang ke rumah atau perkhidmatan penjaga.
Penduduk juga dapat menikmati perkhidmatan doktor tanpa had – tidak termasuk ubat dan caj penghantaran selanjutnya sehingga enam bulan dari tarikh siapnya.
Dengan paparan webcam dan skrin sentuh yang membenarkan pesakit untuk berunding dengan doktor, kiosk telekesihatan itu membolehkan doktor mengakses rekod kesihatan pesakit, sementara pesakit boleh memilih dari sekumpulan doktor bertauliah atau pakar.
Terdapat juga sensor dan peranti yang boleh mengukur suhu pesakit, tekanan darah, dan kadar denyutan jantung. Pada masa yang sama, OLA juga adalah pembangunan mesra kerusi roda.
Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) Singapura kini sedang menjalani latihan e-pengundian.
OLA dijadualkan siap menjelang 2023.