Unit hartanah dengan tawaran menarik akan menjadi pemangkin jualan kepada pemaju hartanah tempatan di tengah-tengah jangkaan pasaran yang kekal mencabar tahun depan.
Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land, Aw Sei Cheh, berkata unit hartanah yang menawarkan pelbagai kemudahan dengan tawaran harga menarik akan kekal menjadi pilihan pembeli sekali gus menyumbang kepada jualan pada 2020.
“Sejak tiga tahun lalu, pasaran hartanah berdepan cabaran dan saya tidak melihat kemungkinan pasaran akan kembali stabil tahun depan.”
“Bagaimanapun, tawaran unit hartanah yang menarik tetap akan menyumbang kepada jualan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan sesi simbolik menyiapkan struktur binaan bagi unit komersial Gamuda, Quayside Mall dalam projek twentyfive.7 di Shah Alam, semalam.
Yang turut hadir,Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan Majlis Daerah Kuala Langat, Arpaai Sanat dan Pengurus Besar twentyfive.7, Chu Wai Lune.
Sei Cheh berkata, dengan pasaran kekal sederhana tahun depan, ia menjadi masa sesuai kepada pembeli memiliki kediaman memandangkan banyak pilihan yang ditawarkan oleh pemaju hartanah tempatan.
“Pembeli memiliki kuasa memilih kediaman disukai kerana banyak pilihan disebabkan pasaran kurang memberangsangkan ini. Ini adalah masa sesuai kepada pembeli asli memiliki kediaman mengikut kehendak dan kemahuan mereka,” katanya.
Mengenai Quayside Mall, beliau berkata, kompleks beli-belah dengan keluasan 2.57 hektar di Kota Kemuning, berada di landasan tepat untuk dibuka pada Jun 2020.
Katanya, projek dengan kos pembangunan kasar RM330 juta itu menawarkan dua elemen iaitu komponen runcit dengan 107 unit kedai dan 19 kiosk membabitkan keluasan kasar 504,539 kaki persegi dan komponen pejabat dikenali Q Tower yang menawarkan ruang 10 tingkat berkeluasan 134,520 kaki persegi.
“Kadar penghunian bagi Quayside Mall kini sudah mencecah 70 peratus dengan penyewa utama yang mengesahkan operasi mereka adalah Jaya Grocer, Mr DIY dan MBO Cinemas,”katanya.
twentyfive.7 adalah projek yang dimajukan oleh Gamuda Land dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM4.3 bilion berkeluasan 104 hektar dengan pembangunan bercampur.
Dilancarkan pada 2017, pembangunan twentyfive.7 merangkumi kediaman superlink, link Villas, The Amber Residence, Quayside Mall dan TheBuzz.ar.