DENGKIL: Persimpangan bertingkat Bandar Gamuda Cove di kilometer 26.7 Lebuh Raya Utara – Selatan Hubungan Tengah (ELITE) di sini, dibuka bermula jam 11 malam ini.
Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata ia adalah satu lagi komitmen kerajaan bagi menyediakan satu lagi kemudahan terbaharu untuk kegunaan rakyat.
Katanya, kerajaan sedar lebuh raya memainkan peranan amat besar sebagai pemangkin pembangunan negara dengan pertumbuhan kawasan sekitar dapat dilaksanakan dengan lebih pantas.
“Malah kajian membuktikan bahawa kawasan yang dilengkapi dengan akses terus ke lebuh raya seperti persimpangan bertingkat ini telah mencatatkan kadar pertumbuhan yang drastik dan lebih cepat berbanding kawasan lain.
“Persimpangan baharu ini pastinya akan menjana kemajuan dan membantu pembangunan di kawasan sekitar seperti persimpangan bertingkat yang telah dibuka sebelum ini seperti Bandar Serenia, Bandar Southville, Alor Pongsu, Bukit Gambir dan lain-lain.
“Setelah dibuka, perjalanan orang ramai di kawasan Dengkil juga akan menjadi lebih mudah kerana persimpangan bertingkat ini menyediakan akses terus ke lebuhraya ELITE dan secara tidak langsung memendekkan perjalanan serta menghubungkan penduduk di sini dengan kawasan sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian persimpangan bertingkat itu di sini, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan; Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Sr Aziz Abdullah dan Pengarah Eksekutif Gamuda Land, Datuk Abdul Sahak Safi.
Projek persimpangan bertingkat itu bermula pada 9 Januari 2017 dan siap pada 25 Julai lalu membabitkan kos sebanyak RM150 juta.
Ia dilengkapi dengan plaza tol berkapasiti 12 lorong, tandas awam, surau, wakaf, kawasan meletak kenderaan bagi memastikan pengguna lebuhraya dapat menikmati perjalanan lebih lancar dan selesa.
Sementara itu Abdul Sahak berkata, sebagai pemaju yang berhemah, pihaknya membangunkan tempat kediaman yang bersesuaian dengan gaya hidup orang ramai, sebuah perbandaran di mana komuniti boleh berkembang maju selaras dengan prinsip pembangunan Gamuda Land.
Katanya, pihaknya yakin ia boleh dicapai dengan membentangkan pelan induk yang teliti bagi perbandarannya daripada landskap jalanan ke jaringan sistem perhubungan, infrastruktur dan seni bina sehinggalah kawasan rekreasi.
“Untuk mencapai impian ini, Gamuda Land membuat pelaburan awal dalam pelan induk yang bersedia untuk masa depan bagi memastikan ia memenuhi keperluan komuniti kami.
“Antara pelaburan utama itu termasuk pembinaan lebuh raya dan persimpangan untuk menyediakan akses yang lebih baik bagi komuniti, taman sentral dan tasik rekreasi serta jaringan internet berkelajuan tinggi.
“Persimpangan yang telah kami bina ini disasarkan untuk memberi kemudahan perhubungan ke bandar berdekatan dan hab seperti Subang Jaya, Cyberjaya, Putrajaya, Puchong dan KLIA melalui lebuh raya ELITE,” katanya.
Gamuda Cove ialah projek perbandaran baharu Gamuda Land yang dibangunkan di atas tanah seluas 620 hektar terletak bersebelahan dengan Paya Indah Wetland dan hutan simpan utara Kuala Langat dan Cyberjaya.
Projek pembangunan membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM20 bilion itu akan merangkumi pembinaan komponen residensi dan komersial dan bakal menjadi penanda aras baharu bagi projek pembangunan di sekitar Lembah Klang.