Aspek pemuliharaan alam sekitar melalui pembangunan taman bandar adalah komitmen pemaju bagi meningkatkan tahap biodiversiti setiap pembangunan.
Melihat kepada kepentingan infrastruktur lestari, Gamuda Land (Gamuda) mewujudkan Dasar Biodiversiti Gamuda Parks pada 2018 bagi memastikan setiap pembangunan bukan sahaja memberi kesan baik kepada alam sekitar malah kehidupan penghuninya pada masa akan datang.
Ketua Pegawai Operasi Gamuda Parks, Khariza Abd Khalid berkata, Dasar Biodiversiti Gamuda Parks adalah kesinambungan yang berterusan melalui keadaan terdahulu, masa kini dan masa depan.
Beliau berkata, dasar itu diaplikasikan sebagai panduan yang dibangunkan melalui pengalaman dan proses pembangunan sejak 25 tahun yang lalu.
“Justeru, dasar ini sekali gus mempamerkan usaha Gamuda Parks dalam penjagaan kepelbagaian biodiversiti yang akan datang untuk pembangunan masa depan dengan melaksanakan audit biodiversiti di kawasan pembangunan kami setiap tiga hingga lima tahun selepas projek itu siap sepenuhnya.
“Melalui kaedah kajian pemantauan biodiversiti, tahap kesihatan persekitaran dapat diketahui seperti pengumpulan data untuk menganalisis pemuliharaan spesies terancam dan terlindung berdasarkan senarai merah spesies terancam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN),” katanya.
Khariza berkata dalam membuka sebuah projek baharu pastinya perlu menerokai kawasan hijau. Namun, sebagai pemaju, menjadi tanggungjawab supaya tidak berlaku krisis antara alam semula jadi dan manusia.
“Perkara ini penting bagi memastikan penghuni di kawasan berkenaan tidak menerima kesan daripada penerokaan itu seperti serangan haiwan. Jadi perkara yang perlu dilakukan adalah memastikan biodiversiti sesuatu kawasan itu seimbang,” katanya.
Jelasnya, syarikat itu juga melihat dasar itu dapat membantu menjadikan kawasan pembandaran yang dibangunkan lebih bersifat mampan daripada kesan bencana alam seperti banjir kilat.
“Untuk tujuan itu kami juga melaksanakan kaedah sistem saliran perparitan yang sistematik dan kolam takungan air yang mencukupi bagi setiap pembangunan.
“Tidak sekadar itu, kami melihat dengan adanya kawasan teduhan yang mencukupi, menanam pokok yang sesuai kaedah ‘bandar span,’ menuai air hujan dapat mengurangkan risiko berlakunya banjir dan mengelakkan berlakunya takungan tidak terkawal,” katanya.
Tambahnya, di dalam projek syarikat itu turut menerapkan kaedah Bioswale sebagai kawasan saliran air yang bukan sahaja bersifat semula jadi malahan dapat mengurangkan risiko banjir kilat yang sering berlaku akibat perubahan cuaca.
“Malahan ia menjadi habitat untuk menarik perhatian serangga seperti rama-rama dan pepatung yang penting untuk proses pendebungaan.
“Penggunaan taman bumbung juga antara yang dilakukan kerana ia boleh menurunkan suhu kawasan persekitaran sekurang-kurangnya lima hingga 10 peratus. Sekali gus dapat mengurangkan kesan pulau haba bandar,” katanya.
Tidak sekadar itu, katanya lagi, sebagai pemaju yang mementingkan kelestarian, syarikatnya juga melaksanakan pengurusan sisa buangan seperti sisa tanaman, makanan dan pembinaan pusat kitar semula disetiap pembangunan. Bahan kompos daripada sisa itu dikitar semula sebagai baja dalam penanaman atau sebagai nutrient tambahan.
“Pembangunan taman komuniti atau pertanian bandar mempromosikan kehidupan sihat dan persekitaran yang seimbang. Ini bukan sahaja merupakan salah satu daripada aktiviti riadah malah menjadi platform dalam merapatkan hubungan kejiranan,” katanya.