Pemaju hartanah, Gamuda Land memperuntukkan pelaburan RM350 juta untuk membangunkan taman tema air di atas tapak seluas 7.28 ekar di Gamuda Cove, di Dengkil, Selangor.
Taman tema air yang dijangka dibuka pada Disember 2021 itu merangkumi komponen seperti 18 permainan berasaskan air dengan ciri khas, pentas
persembahan bagi acara berkaitan serta hotel bertaraf tiga hingga empat bintang untuk keselesaan penginapan pengunjung.
Pengarah Hospitaliti dan Santai Gamuda Land, Aaron Soo, berkata pihaknya mengambil peluang untuk meneroka segmen tarikan pelancongan kerana mahukan kelainan berbanding pemaju pembangunan yang lain.
“Kami tidak teragak-agak untuk melabur dalam penciptaan nilai bagi pelanggan kami. Kami mencipta kelompok aktiviti sosial untuk memacu pertumbuhan sosioekonomi di kawasan ini.
“Selain taman tema air itu, kawasan sekitar Gamuda Cove ini juga akan menempatkan Discovery Park yang akan dibuka kepada umum bulan depan.
“Sementara itu ekopelancongan di Paya Indah Wetlands bakal dijenamakan semula menjadi Discovery Wetlands,” katanya kepada pemberita ketika sidang media pada acara pecah tanah Taman Tema Air Gamuda Cove di Dengkil, semalam.
Yang hadir sama Ketua Operasi Gamuda Land, Aw Sei Cheah.
Sementara itu, Sei Cheah berkata, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM20 bilion, Gamuda Cove kini berada di dalam landasan untuk merealisasikan visi menjadi pembangunan bertemakan ‘Nature Sanctuary, Smart City’.
“Pelancaran projek pertama di Gamuda Cove, iaitu rumah teres dua tingkat Palma Sands pada tahun ini berjaya mencatat kadar pengambilan sebanyak 70 peratus.
“Kami juga merancang untuk melancarkan fasa kedua rumah bertanah baharu di Gamuda Cove dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi,” katanya.
Dengan keluasan 619.1 hektar, projek perbandaran Gamuda Cove ini dijangka siap sepenuhnya pada 2038.